Sunday, 1 November 2015

Strategi.... sambungan

Seperti yang dibincangkan dalam siri yang lalu, adalah menjadi impian  setiap pengurus agar perniagaan yang diusahakannya itu  berdaya saing dan dapat mengelak dari sebarang ancaman. Oleh itu setiap pengurus akan merangka satu strategi untuk dipraktiskan dalam perniagaan beliau. Malangnya, setiap strategi yang dipraktiskan oleh pengurus tidak akan kekal selamanya.  Ini adalah disebabkan oleh berlakunya perubahan dalam teknologi, ekonomi, sosial dan perubahan trend pengguna. Di samping itu pesaing (peniaga lain yang menjalankan perniagaan yang sama) juga ada membuat perubahan terhadap strategi yang mereka amalkan untuk disesuaikan dengan perubahan semasa. Keadaan ini menyebabkan strategi yang dipraktiskan oleh anda sebelum ini akan menjadi tidak releven.

Oleh itu pengurus dinasihatkan agar sentiasa memantau strategi yang beliau amalkan  dari masa ke semasa.Jika pengurus berterusan mengamalkan strategi yang lapok tanpa mengikut kesesuaian keadaan semasa, ia akan menyebabkan strategi tersebut tidak berkesan. Sebagaimana  satu-satu produk  yang mempunyai tarikh luput, begitu juga dengan strategi

Jika anda tetap juga meminum susu kotak yang anda sudah tahu bahawa ia sudah tamat tempoh,  anda bukannya mendapat sumber protein dari susu tersebut sebaliknya anda akan  mengalami masalah  seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah-muntah.Begitu juga dengan strategi. Jika anda terus menerus mengamalkan strategi yang sama dalam perniagaan anda tanpa mengira perubahan persekitaran, ia juga akan memberi kesan buruk kepada perniagaan yang dijalankan. Perniagaan anda bukan saja tidak mampu meluaskan pasaran malah pesaing pula yang akan merampas pasaran dan pelanggan anda. Oleh itu anda perlu memeriksa akan keberkesanan strategi tersebut.

Jika anda jatuh sakit dan anda pergi ke klinik untuk berjumpa doktor. Doktor akan menanyakan anda  beberapa soalan   bagi membantu beliau mengesan apa penyakit yang sedang anda  alami. Begitu juga dengan proses membuat diagnosis tentang keberkesanan strategi ini. Anda juga perlu menanyakan beberapa 'soalan tertentu'  sebagai panduan untuk membuat diagnosis.

Dengan menanyakan soalan-soalan ini, anda akan mengetahui akan keberkesanan strategi tersebut. Jika strategi  itu telah  'terkebelakang'  atau tidak releven,  anda perlu merangka strategi baru atau membuat pengubahsuaian.